Bawa pulang ‘buah tangan’ Covid-19

KUANTAN 14 Nov. – Sedar atau tidak, ada waris atau ahli keluarga pulang ke kampung dengan membawa “buah tangan” Covid-19 dan kemudiannya menghadiri kenduri atau majlis keluarga tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Situasi ini berlaku di Pahang, khususnya di daerah Kuantan dan Pekan sehingga terdapat sedikit peningkatan kes Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Dr Nor Azimi Yunus, berkata berdasarkan rekod, peningkatan jangkitan di Pekan disumbangkan oleh kes dari kawasan Felda Chini.

Katanya, statistik menunjukkan sebanyak 62 kes Covid-19 membabitkan 25 keluarga dikesan di Felda Chini 1 hingga Felda Chini 3.

“Hasil siasatan mendapati waris dan ahli keluarga pulang ke kampung membawa Covid-19 bersama. Pada masa sama, ada perhimpunan keluarga seperti kenduri dan majlis sosial lain dengan kurangnya pematuhan SOP,” katanya menerusi Facebook.

Katanya, perkataan SOP mungkin sesuatu yang sangat tidak digemari masa kini namun pematuhan SOP adalah kawalan terbaik buat masa ini  selain vaksin.

“Kita pun tahu semasa berhimpun bersama keluarga pematuhan SOP hampir tiada. Mana ada sesama keluarga pakai mask. Apalagi jika ada majlis makan dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat sebaik-baiknya melaksanakan ujian saringan kendiri sebelum pulang ke kampung atau selepas pulang dari tempat percutian kerana langkah itu berkesan mencegah penularan wabak jika ada yang disahkan positif.

“Dengan cara begini, kluster dalam kalangan keluarga boleh dielakkan. Kita kena berusaha ke arah hidup dengan norma baharu, jangan alpa dan leka kerana kita belum menang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment