Penggalak: 40% tidak hadir janji temu

BATU KAWAN 13 Nov. – Kira-kira 40 peratus rakyat negeri ini membabitkan warga emas yang menerima janji temu melalui MySejahtera untuk mendapatkan dos penggalak dilaporkan tidak hadir bagi mendapatkan pelalian berkenaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, keadaan itu didapati berlaku disebabkan isu keyakinan terhadap dos penggalak serta jenama vaksin yang dilihat menjadi faktor rakyat masih belum dapat menerimanya.

“Hal ini menjadi cabaran baharu untuk kita kerana sebelum ini kita nak galak semua dapatkan vaksin dan syukurlah kita capai peratusan yang tinggi.

“Namun, bagi suntikan dos penggalak kita dapati isu keyakinan antara puncanya termasuk isu jenama vaksin yang ramai menjadi keliru dan tidak jelas.

“Ini kerana, ada penerima Sinovac mereka hendak dos penggalak juga adalah Sinovac kerana takut bercampur dengan vaksin lain dan ada juga yang mahu jenama lain sehingga akhirnya menjejaskan keyakinan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penanaman Pokok Cassia Siamea di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), di sini, hari ini.

Jelasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga diharapkan dapat memberikan penjelasan serta arahan terperinci berhubung suntikan dos penggalak bagi meningkatkan kesedaran dan meningkatkan keyakinan masyarakat.

Kon Yeow berkata, situasi Covid-19 di Pulau Pinang dalam keadaan terkawal apabila tiada peningkatan kes harian yang mendadak.

“Selain itu, kemasukan pesakit ke hospital, penggunaan katil wad biasa dan unit rawatan rapi (ICU) serta penggunaan ventilator menunjukkan penurunan.

“Namun, kita masih perlu berjaga-jaga kerana Covid-19 masih berada dalam komuniti dengan sentiasa patuh pada prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Related posts

Leave a Comment