Thailand Pengerusi APEC 2022

BANGKOK 13 Nov. – Thailand mengambil alih jawatan pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2022 daripada New Zealand dengan mengumumkan tema APEC 2022 – Open. Connect. Balance.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata, tema itu bermaksud APEC membuka pelbagai peluang, berhubung dalam apa juga dimensi serta seimbang dalam semua aspek.

Pada majlis penyerahan yang diadakan secara maya malam tadi, Prayuth berkata Thailand berbesar hati untuk menjadi tuan rumah APEC 2022 dan bersedia menyambut kedatangan keluarga APEC serta tetamu ke negara itu pada November 2022.

Beliau mempelawa pemimpin APEC untuk ‘sinergi’ kekuatan serta keazaman dalam mewujudkan komuniti APEC yang lebih terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman untuk generasi akan datang.

Dalam acara simbolik, Perdana Menteri New Zealand menyerahkan pendayung waka kepada Prayuth supaya Thailand dapat mengemudi APEC menuju kejayaan lebih cemerlang.

Terdahulu, pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM), Prayuth berkata APEC perlu mengutamakan tiga isu – menghidupkan semula kesalinghubungan serantau terutamanya dalam industri pelancongan dan perjalanan, memberi nafas baru dalam perdagangan dan pelaburan serta menggiatkan semula ekonomi untuk memastikan pertumbuhan jangka panjang bagi menangani krisis Covid- 19.

Prayuth turut menegaskan tekad Thailand untuk menggunakan pengalaman yang ada bagi memperkasakan lagi usaha APEC ke arah pertumbuhan mampan dan inklusif pada masa depan.

“Thailand akan meneruskan tugas APEC dan bekerjasama rapat dengan ekonomi lain, terutamanya ketika pasca Covid-19 demi kemakmuran rantau dan rakyat,” katanya.

(Foto fb pr thai government)

Related posts

Leave a Comment