Dos penggalak diperluas

PUTRAJAYA 12 Nov. – Pemberian vaksin penggalak Covid-19 diperluaskan kepada individu berusia 18 tahun ke atas dan mempunyai komorbiditi, ibu mengandung, individu berusia 40 tahun ke atas dan petugas barisan hadapan selain petugas kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Panel Pakar Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah meneliti keberkesanan serta keselamatan dos penggalak daripada pelbagai sumber.

Hasilnya mendapati satu dos penggalak mampu meningkatkan tahap imuniti terhadap Covid-19.

KKM akan terus memantau perkembangan Covid-19 dari semasa ke semasa dan pada masa sama akan meneruskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan pemberian dos tambahan dan dos penggalak bagi memastikan Keluarga Malaysia menerima perlindungan yang optimum daripada Covid-19.

Bagi yang belum menerima vaksin namun tidak pernah dijangkiti Covid-19, mereka kini berada dalam kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan Covid-19.

“Nasihat KKM, segeralah mendaftar dan dapatkan vaksin Covid-19 agar anda dan keluarga dilindungi daripada virus merbahaya ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Mengulas mengenai pemberian dos penggalak kepada individu berusia 40 tahun ke atas, Dr Noor Hisham berkata kebanyakan daripada golongan berkenaan tidak mengetahui mereka mempunyai penyakit tidak berjangkit.

Sementara itu, mengenai pemilihan vaksin bagi dos penggalak, Dr Noor Hisham memaklumkan, buat masa ini pemilihan vaksin bergantung kepada kelulusan regulatori dan kelulusan indikasi penggunaan oleh pakar perubatan merawat sama ada daripada jenis homologous atau heterologous dengan dos primer terakhir.

“Setakat ini hanya vaksin Comirnaty sudah diberikan kelulusan sebagai dos penggalak secara homologous selepas tempoh enam bulan menerima dos primer manakala vaksin lain dalam proses semakan oleh panel pakar dan regulatori.

“Hingga hari ini, dianggarkan sebanyak 144.57 juta dos penggalak sudah diberikan di peringkat global manakala sebanyak 825,497 dos diberikan di Malaysia,” katanya.

Pemberian dos penggalak ini juga selepas melihat pendekatan yang diambil oleh beberapa negara seperti Singapura dan United Kingdom yang lebih awal memulakan proses pemberian vaksin.

Related posts

Leave a Comment