Vaksinasi 5.9 juta kanak-kanak 2022

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Seramai 5.9 juta kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun akan divaksinasi bermula pada tahun 2022 yang akan melibatkan kira-kira 11.8 juta dos.

Kementerian Kesihatan memaklumkan pemberian vaksin keluaran Pfizer BioNTech itu sedang menunggu kelulusan regulatori daripada Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

“Pihak Pfizer juga dijangka mengemukakan data berkaitan pendaftaran penggunaan vaksin untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun pada penghujung tahun ini kepada NPRA (Agensi Regulatori Farmasi Negara) untuk penilaian dan kelulusan pendaftaran,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kerajaan kini dalam proses memperoleh vaksin Pfizer BioNTech untuk kegunaan imunisasi bagi golongan itu memandangkan formulasi yang digunakan berbeza daripada populasi dewasa, tertakluk kepada kelulusan NPRA dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Perkara itu dijelaskan bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang ingin tahu sama ada KKM berhasrat memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun serta jangkaan ia dilaksanakan.

Related posts

Leave a Comment