SINGAPURA 11 Nov. – Kementerian Kesihatan (MoH) melaporkan 3,481 kes baharu Covid-19 di Singapura dengan jumlah kematian 17 orang setakat 12 tengah hari semalam.
Menurut Kementerian Kesihatan, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 227,681 orang dan 540 orang meninggal dunia.
Kes baharu meningkat daripada 3,397 pada Selasa dengan kes baharu dalam masyarakat 3,244, lapan kes import dan 229 kes asrama pekerja asing.
Bagi kes kematian pula, individu terlibat adalah mereka yang berumur antara 65 dan
101 tahun di mana kesemuanya juga mempunyai pelbagai penyakit sedia ada.
Sementara itu, menurut MoH, kadar pertumbuhan jangkitan mingguan pula adalah 0.88, meningkat daripada 0.82 pada Selasa. Ini hari kelapan berturut-turut kadar itu berada di bawah 1.
Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.
Sebanyak 1,686 pesakit dimasukkan ke hospital dan daripada jumlah itu, 261 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, 62 tidak stabil dan dipantau rapi di ICU, 75 sakit tenat dan perlu intubasi di ICU. Kadar penggunaan ICU pula 71.0 peratus
Kes sembuh pula sebanyak 2,495 orang di mana 433 adalah warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas.
