Trend penurunan kes Covid-19

PUTRAJAYA 8 Nov. – Minggu Epidemiologi (ME) ke-44 berakhir pada 6 November lalu mendapati kebanyakan indikator utama menunjukkan trend penurunan kes Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sehingga 6 November lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 2,501,966 kes kumulatif Covid-19 dengan 65,505 kes aktif dan 29,256 kes kumulatif kematian.

Bagaimanapun, katanya, kadar kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan peningkatan dua peratus berbanding minggu epidemiologi ke-43.

“Pada ME ke-44 iaitu dari 31 Oktober sehingga 6 November, KKM mendapati kes baharu Covid-19 menunjukkan penurunan 13.1 peratus iaitu daripada 40,613 kes (ME ke-43) kepada 35,303 kes (ME ke-44).

Purata kes aktif menunjukkan penurunan 7.0 peratus iaitu daripada 70,829 kes (ME ke-43) kepada 65,573 kes (ME ke-44) dan ia konsisten sejak sembilan minggu lalu.

“Kes kematian menunjukkan penurunan 27.2 peratus iaitu daripada 522 kes (ME ke-43) kepada 380 kes (ME ke-44),” katanya dalam satu kenyataan hari in

Beliau berkata, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat 2.0 peratus iaitu 505 kes (ME ke-43) kepada 516 kes (ME ke-44) manakala kes yang memerlukan bantuan pernafasan tidak menunjukkan perubahan ketara dan kekal 214 kes (ME ke-44).

Katanya, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara turut menyusut daripada 0.96 kepada 0.91 sejak 1 November.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 6 November juga, sebanyak 5,719 kluster dilaporkan di negara ini dengan 335 kluster masih aktif, penurunan 23.5 peratus berbanding ME ke-43.

Sebanyak 137 kluster sudah diisytiharkan tamat pada ME ke-44, menjadikan penurunan 17 peratus berbanding ME ke-43.

Pada ME ke-44, sebanyak 34 kluster dilaporkan terdiri daripada 18 atau 52.9 peratus kluster tempat kerja, tujuh atau 20.5 peratus kluster pusat pendidikan, enam (17.6 peratus) kluster komuniti serta masing-masing satu (3.0 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster aktiviti keagamaan dan kluster pusat tahanan.

Sehingga semalam, sejumlah 25,525,035 individu sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19 dan setakat tengah malam tadi, 75.2 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini sudah menerima suntikan vaksin lengkap iaitu 94.8 peratus daripada populasi dewasa dan 74.9 peratus daripada populasi remaja.

Selain itu, pemberian dos penggalak giat dijalankan dengan kumulatif 506,236 dos setakat semalam.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, kadar penggunaan fasiliti kesihatan iaitu katil wad biasa, katil ICU dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) didapati semakin berkurangan selaras peningkatan liputan vaksin.

Bilangan katil yang diperuntukkan untuk merawat kes Covid-19 mula diturunkan secara berperingkat di kebanyakan negeri bagi memberi perhatian kepada rawatan kes selain Covid-19

Di peringkat kebangsaan, bilangan pesakit Covid-19 yang dirawat di fasiliti kesihatan kian berkurangan dari minggu ke minggu dengan kedua-dua kategori pesakit iaitu kategori pesakit 1 dan 2 serta 3, 4 dan 5 didapati semakin menyusut.

Bagaimanapun, mulai ME ke-42 hingga ME ke-44, empat negeri yang menunjukkan peningkatan dalam kemasukan pesakit kategori 3 hingga kategori 5 iaitu Kuala Lumpur, Perlis, Terengganu, dan Selangor dengan peningkatan sekitar 3 peratus hingga 17 peratus.

Related posts

Leave a Comment