RIYADH – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melancarkan visa umrah bagi kemasukan berulang kali yang sah selama 365 hari daripada tarikh dikeluarkan.
Bagaimanapun, visa berkenaan tidak akan diaktifkan sepanjang musim haji, iaitu bermula 1 Zulkaedah hingga 13 Zulhijah.
Langkah itu membolehkan pemegang visa memasuki negara itu beberapa kali dengan tempoh keseluruhan penginapan sehingga 90 hari, tertakluk kepada syarat serta peraturan yang ditetapkan.
Langkah itu juga selaras dengan matlamat Wawasan Arab Saudi 2030 dan Program Pengalaman Jemaah yang bertujuan memudahkan urusan ketibaan jemaah, meningkatkan pengalaman menunaikan ibadah serta memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Bagi setiap lawatan, pemegang visa diwajibkan membeli pakej perkhidmatan daripada penyedia yang diluluskan menerusi platform Nusuk.
Tempoh pakej yang dibeli tidak boleh melebihi baki tempoh sah visa berkenaan selain jemaah juga perlu mendapatkan permit Umrah melalui aplikasi Nusuk sebelum memasuki Arab Saudi.
Visa itu akan dinyahaktifkan setiap kali pemegangnya meninggalkan Arab Saudi dan hanya akan diaktifkan semula apabila semua syarat bagi kunjungan seterusnya dipenuhi.
