Lahabau : wakil DAP mohon maaf

KUALA LUMPUR 8 Nov. –  Ahli Parlimen Kulai daripada DAP, Teo Nie Ching, memohon maaf kerana menggunakan bingkai gambar profil akaun media sosial mengandungi frasa kurang menyenangkan.

Beliau memuat naik bingkai dengan frasa ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’ di lama Facebook rasminya, sebagai sebahagian bahan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya, bekas Timbalan Menteri Pendidikan kerajaan PH itu mengakui ia jelas satu kesilapan yang memalukan dan berjanji akan lebih berhati-hati sewaktu berkempen.

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘lahabau’ adalah istilah makian bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap dan haprak.

Nie Ching yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP, menyedari kesilapan itu selepas dikecam oleh netizen dan mengakui tidak mengetahui maksud sebenar perkataan itu.

Beliau turut menyatakan permohonan maaf, terutama kepada rakyat dan pengundi di Melaka atas keterlanjuran itu.

“Dalam keghairahan kempen media sosial ini, ramai petugas Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP, hampir tak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen.

Namun, manusia tidak pernah lepas daripada kesilapan, termasuk diri saya sendiri. Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial.

“Saya cuma ingin berkempen melalui ‘frame’ (bingkai) percuma yang boleh didapati di dalam Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan itu.

“Dengan menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua, terutamanya rakyat dan pengundi Melaka,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau, turut berjanji akan lebih berhati-hati dalam memuat naik bahan kempen menerusi media sosial untuk PRN Melaka.

Related posts

Leave a Comment