WASHINGTON – “Netanyahu tidak akan ditangkap dalam apa jua keadaan ketika berada di AS,” demikian jaminan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Trump menolak ancaman Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, untuk menangkap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, atas dakwaan jenayah perang sekiranya pemimpin itu berkunjung ke bandar raya berkenaan.
Dalam satu hantaran di media sosial, Trump berkata Netanyahu tidak akan ditahan ketika berada di AS, sambil menyifatkan sekutu rapat Washington itu sebagai pihak yang telah membantu negara tersebut dalam konflik dengan Iran.
Kenyataan itu menyusul pendirian Mamdani yang sebelum ini menyatakan pihak pentadbirannya masih meneliti kemungkinan mengambil tindakan terhadap Netanyahu jika beliau menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September depan.
Dalam wawancara yang diterbitkan pada Sabtu, Mamdani berkata beliau percaya Netanyahu sepatutnya dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague.
Pada 2024, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu atas dakwaan melakukan jenayah perang berkaitan konflik di Gaza.
Bagaimanapun, Mamdani mengakui masih belum pasti sama ada beliau mempunyai bidang kuasa undang-undang untuk mengarahkan Jabatan Polis New York menahan seorang ketua kerajaan asing.
Beliau berkata perkara itu sedang dibincangkan secara aktif dengan Jabatan Undang-Undang bandar raya berkenaan bagi menentukan tindakan yang boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang.
“Apa sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang di New York City, itulah yang akan kami lakukan. Namun kami tidak akan menggubal undang-undang baharu semata-mata untuk tujuan itu,” katanya.
Semasa kempen pilihan raya datuk bandar sebelum ini, Mamdani pernah menyatakan bahawa beliau akan mengarahkan polis menahan Netanyahu sekiranya pemimpin Israel itu memasuki New York, dengan merujuk kepada pelaksanaan waran tangkap ICC.
Sementara itu, Israel menolak kenyataan Mamdani dan menyifatkan ICC sebagai sebuah “mahkamah palsu”, selain mendakwa waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Netanyahu tidak berasas.
Nnnn
