PM baharu janji pembaharuan Britain

LONDON – Andy Burnham, Perdana Menteri Britain yang baharu berjanji melaksanakan pembaharuan terbesar di Britain sejak empat dekad menerusi model politik dan ekonomi baharu bagi mengembalikan kestabilan negara serta memulihkan keyakinan rakyat.

Beliau berkata pembaharuan berkenaan akan menjadi titik perubahan buat negara itu selepas berdepan ketidaktentuan politik sepanjang sedekad lalu.

“Kita akan menjadikan detik ini sebagai titik perubahan buat Britain dengan melaksanakan pembaharuan terbesar dalam tempoh 40 tahun. Kita akan memperkenalkan model politik dan ekonomi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sulung di luar 10 Downing Street pada Isnin selepas menerima pelantikan Raja Charles III untuk membentuk kerajaan.

Menurut Burnham, kerajaan baharunya akan membentangkan Pelan Baharu Britain, iaitu pelan pembangunan selama 10 tahun yang menggariskan hala tuju negara.

Beliau berkata beberapa langkah segera bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup akan diumumkan seawal Selasa, termasuk kaedah pembiayaan bagi setiap inisiatif.

Selain itu, Burnham berjanji memperbaharui sistem pendidikan, memperluaskan sokongan kesihatan mental kepada golongan muda dan membina lebih banyak rumah majlis tempatan.

Beliau turut mengumumkan arahan pertamanya sebagai Perdana Menteri ialah menamatkan masalah gelandangan yang tidur di jalanan.

“Kita akan mengubah cara politik dilaksanakan, supaya ia lebih berteraskan kerjasama dan lebih menumpukan kepada penyelesaian masalah, bukannya saling menyalahkan atau mengejar keuntungan politik,” katanya lagi.

Sementara itu, Keir Starmer, berkata, beliau berundur dengan hati yang terbuka, dengan senyuman, dan dengan penuh rasa bangga terhadap segala yang telah dicapai  bersama.

Berucap di luar 10 Downing Street, Starmer berkata tugasnya sebagai Perdana Menteri telah selesai dan beliau akan menghadap Raja Charles III untuk menyerahkan peletakan jawatan secara rasmi.

Beliau berkata, sepanjang enam tahun setengah menerajui Parti Buruh, parti itu berjaya bangkit daripada kekalahan bersejarah pada 2019 sebelum memenangi Pilihan Raya Umum 2024.

Menurut Starmer, peluang berkhidmat sebagai Perdana Menteri merupakan penghormatan terbesar dalam hidupnya.

“Saya yakin Britain kini lebih kukuh dan lebih adil berbanding dua tahun lalu. Ekonomi kita lebih kukuh. Perkhidmatan awam kita kembali berada di landasan yang betul,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment