Tiga Naib Presiden Pas kekal

KUALA TERENGGANU 7 Nov. – Tiga penyandang Naib Presiden Pas mengekalkan jawatan masing-masing dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi parti pada Muktamar Tahunan Ke-67 sesi 2021-2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad memperoleh 1,164 undi, manakala Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah 956 undi dan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar 778 undi.

Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki tewas apabila hanya sekadar meraih 623 undi.

Keputusan itu diumumkan wakil Jawatankuasa Pemilih Mohd Norkhuzaini Ab Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu.

Seramai 1,299 perwakilan layak mengundi dengan 1,221 undian diterima melalui e-voting.

Sementara itu, daripada 36 cakon yang menawarkan diri untuk AJK Pas Pusat, sebanyak 18 dipilih iaitu  Muhammad Khalil Abdul Hadi yang memperoleh 884 undi, diikuti Muhammad Sanusi Md Nor (877); Kamaruzaman Mohamad (872); TS Khairil Nizam Khirudin (844); Dr Riduan Mohamad Nor (841).

Iskandar Abdul Samad (822); Dr Halimah Ali (774); Dr Mohamed Fadzli Hassan (736); Ahmad Marzuk Shaari (707); Mohd Nassuruddin Daud (706) dan Dr Najihahtussalehah Ahmad (695).

Siti Zailah Mohd Yusoff (688); Dr Azman Ibrahim (679); Nasrudin Hassan (645); Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (615); Dr Ali Akhbar Gulasan (613); Dr Mahfodz Mohamed (609) dan Dr Rosni Adam (609).

Sebelum ini, Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing menang tanpa bertanding mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Husin Ismail dan Kamal Ashaari juga menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap.

Turut menang tanpa bertanding Md Shukor Aziz dan Mohd Najib Ahmad bagi jawatan pemeriksa kira-kira.

Seramai 1,546 perwakilan mengambil bahagian pada muktamar kali ini dengan 694 menyertainya di Kuala Terengganu manakala baki secara hibrid di negeri masing-masing. Mereka yang menghadiri muktamar kali ini meliputi 197 Yang Dipertua (YDP) kawasan di seluruh negara serta perwakilan Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Related posts

Leave a Comment