Lima penjuru di Pengkalan Batu

MELAKA 7 Nov – Kerusi Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu dijangka menyaksikan pertandingan lima penjuru apabila Norhizam Hassan Baktee mengumumkan akan bertanding mempertahankan kerusi itu sebagai calon Bebas.

Walaupun mendapat tawaran sekurang-kurangnya dari empat parti politik,beliau memilih Bebas untuk menghadapi sekurang-kurangnya empat calon lagi yang mewakili pelbagai parti politik.

Sebelum ini, empat parti mengumumkan calon masing-masing untuk merebut kerusi DUN berkenaan iaitu BN (UMNO), PN (Bersatu), PH (DAP) dan Putra.

Norhizam yang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 lalu atas tiket PH meletakkan keyakinan lebih 80 peratus untuk memenangi kerusi DUN yang disandangnya sebelum ini.

Norhizam berkata, logo yang akan dipertaruhkan pada pilihan raya itu nanti diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas selesai menghantar borang penamaan calon esok.

“Saya tidak hilang dari radar dan parti ini hanya satu logo dan simbol sahaja kerana kalau kita tabur (khidmat) pada rakyat, InsyaAllah kita akan menang dan saya yakin instinct (firasat) saya juga mengatakan 80 peratus saya akan menang.

“Saya bukan cakap kosong, saya ada KPI selama lebih tiga tahun turun padang menyantuni rakyat. Untuk (menang) dia (pemimpin) kena berjiwa rakyat, macam mana kita nak bantu rakyat kalau tidak berjiwa rakyat,” katanya.

Beliau mendakwa tidak menjadi cabaran buatnya memandangkan beliau lebih awal memulakan gerak kerja di kawasan itu..

“Saya tidak ada IR, tetapi saya ada JR (jiwa rakyat),” katanya.

Selain itu mengulas saingan calon di DUN Pengkalan Batu, katanya itu tidak menjadi cabaran buatnya memandangkan beliau lebih awal memulakan gerak kerja di kawasan itu.

“Danish (calon PH) bukan anak tempatan, dia ibarat ‘parachute’ dan saya tidak kenal dia. Datuk Khalsum (calon Barisan Nasional) pula dari segi gerak kerja saya dah gerak laju dari dia kurang-kurang nak jadi calon kena berkhidmat dua tahun.

“Kalau dia pun tak turun padang menunjukkan minat, itu biar rakyat nilai lah. Rakyat bukan pilih lagi parti, tetapi siapa pemimpin yang akan berkhidmat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment