Anwar menghadap Sultan Johor

JOHOR BAHRU 30 Dis. – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri  Anwar Ibrahim di Istana Bukit Serene, di sini, hari ini.

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri ke-10 itu tiba di istana berkenaan kira-kira pukul 10.30 pagi.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat tiba di istana tersebut pada 9.34 pagi, diikuti Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim 10 minit kemudian.

Ini merupakan kali kedua Anwar menghadap Sultan Ibrahim dan kali pertama beliau ke negeri ini tiga hari selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lepas.

Terdahulu, Anwar disambut Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi setibanya di Senai Business Aviation Terminal pada pukul 9.55 pagi.

Sementara itu, dalam hantaran di Facebooknya, Anwar menjunjung kasih atas perkenan Sultan Ibrahim menerima beliau menghadap selama hampir satu jam sempena lawatan kerja ke Johor.

“Dalam sesi mengadap tersebut, saya telah berikan penjelasan terkait soal pembangunan negara serta negeri Johor Darul Ta’zim.

“Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” tulis Anwar

Kredit foto: Johor Royal Press Office

Related posts

Leave a Comment