Brunei catat kes harian terendah

BERAKAS 7 Nov. – Brunei Darussalam merekodkan 40 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, angka terendah sejak Ogos menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 13,782, kata Menteri Kesihatan Dr. Md Isham Jaafar.

Katanya, terdapat 24 tambahan kes melibatkan lapan kluster sedia ada yang mempunyai kaitan dengan kontak rapat beberapa kes sebelumnya.

Sebanyak 16 kes baharu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan.

Tiada kluster baharu direkodkan tetapi satu kluster iaitu Kluster Ops Bukit Beruang ditutup berikutan tiada kes baharu direkodkan dalam tempoh 28 hari manakala 183 kluster masih aktif.

Sebanyak 158 kes dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 12,603 kes pulih di mana 1,085 kes aktif.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan sekarang, enam kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan Heart / Lung Machine (ExtraCorporeal Membrane Oxygenation – ECMO).

Lapan kes lain dikategorikan dalam Kategori 4, iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 4,766 sampel, diuji bagi virus SARS-CoV-2, yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 533,431 ujian.

Related posts

Leave a Comment