Kluster majlis kahwin, ‘potong jambul’

KOTA KINABALU 7 Nov. – Seramai 52 penduduk kampung dijangkiti Covid-19 setakat ini berikutan penularan virus dipercayai berpunca daripada perkumpulan orang ramai dalam majlis perkahwinan dan upacara potong jambul.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun berkata, majlis itu telah mencetuskan kluster baharu Covid-19 melibatkan jangkitan dalam komuniti.

Jurucakap Kerajaan Negeri Sabah berkaitan perkembangan harian Covid-19 itu berkata kluster baharu di Kampung Karanaan itu dikesan selepas seorang lelaki tempatan yang juga kakitangan awam berumur 29 tahun didapati positif.

Katanya, majlis perkahwinan dan upacara potong jambul itu turut dihadiri saudara mara dari luar daerah.

Masidi berkata kluster baharu di Ranau itu adalah satu peringatan penting kepada orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang masa.

Ini lebih-lebih lagi Sabah akan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara mulai esok dengan pelbagai sekatan ke atas majlis-majlis sosial dan aktiviti-aktiviti ekonomi akan dilonggarkan..

“Kesannya ialah risiko jangkitan di tempat-tempat awam dan acara-acara sosial akan semakin tinggi. Rakyat digesa agar tidak lalai mematuhi semua SOP. Kelonggaran ini meletakkan tanggungjawab ‘frontliners’ (barisan hadapan) ke atas bahu rakyat sendiri untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Secara keseluruhannya, Masidi berkata, sebanyak 405 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 221,749 kes, dengan dua kes kematian dilaporkan masing-masing satu di Beaufort dan Kota Marudu.

Seramai 537 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah menjadikan jumlah kumulatif 210,551 pesakit sembuh, manakala 1,789 pesakit masih menerima rawatan..

Related posts

Leave a Comment