Dua kes pertama Delta AY.4.2

PUTRAJAYA 6 Nov. – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua kes pertama Covid-19 di negara ini yang dijangkiti subvarian Delta AY.4.2, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata subvarian itu ditemui dalam kalangan kes import iaitu pelajar Malaysia yang baru pulang dari United Kingdom (UK).

Katanya, dua kes berkenaan tiba di pintu masuk antarabangsa (PMA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Oktober lalu dan ujian calitan RT-PCR yang dijalani mereka adalah negatif bagi sampel pertama.

Bagaimanapun, ujian bagi keputusan berkenaan positif apabila diuji pada sampel kedua yang diambil pada 7 Oktober lalu ketika tempoh kuarantin dilaksanakan.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, sampel berkenaan menjalani penjujukan genom penuh di Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan laporan keputusan itu dikeluarkan pada 30 Oktober lalu.

Menurut Dr Noor Hisham, varian AY.4 adalah satu daripada lineage Delta yang mana pada masa ini terdapat lebih 75 jenis lineage berasal dari Delta.

“Satu daripada ‘sublineage’ AY.4 adalah Varian AY.4.2 yang juga dikenali sebagai “Delta Plus.” Varian AY.4.2 ini mempunyai dua mutasi tambahan pada protein spike iaitu Y145H dan A222V.

“Sehingga akhir bulan lalu, variant AY.4.2 adalah 10 peratus daripada jumlah penjujukan genom penuh yang dijalankan di UK. Agensi Keselamatan Kesihatan UK pada 20 Oktober lalu menetapkan AY.4.2 sebagai Variant Under Investigation (VUI),” katanya.

Katanya, vaksin yang digunakan sekarang masih berkesan terhadap varian ini dan langkah seperti kuarantin, pengujian dan sebagainya yang dijalankan dapat membantu mengurangkan risiko penularan varian ini di Malaysia terutama di PMA.

Beliau juga memaklumkan, kajian berterusan yang dijalankan beberapa pihak berjaya mengenal pasti 90 kes baharu yang mempunyai varian membimbangkan (VOC) Delta (B.1.617.2).

Sebanyak 44 kes yang mempunyai varian Delta itu dikesan Institut Kajian Perubatan (IMR), manakala 46 kes lagi oleh UMBI-UKM.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 3,782 kes.

Daripada jumlah dikesan itu, 3,762 kes adalah VOC, manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 3,522 kes varian Delta; Beta (226 kes) dan Alpha (14).

Bagi kes VOI, terdapat 13 kes daripada Theta, Kappa (empat) dan Eta (tiga).

Related posts

Leave a Comment