Kes harian Malaysia turun

PUTRAJAYA 5 Nov. – Jumlah kes baharu Covid-19 mencatatkan penurunan berbanding tiga hari lalu, apabila 4,922 kes dilaporkan, setakat pukul 12 tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya , dengan perkembangan itu menjadikan 2,497,265 individu sudah dijangkiti virus berkenaan.

Daripada jumlah kes baharu hari ini, sebanyak 4,842 kes atau 98.4 peratus adalah pesakit dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

Sebanyak 1.6 peratus bersamaan 80 kes lagi adalah pesakit kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal.

Secara keseluruhannya, sejumlah 549 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan hanya 529 kes daripada jumlah itu disahkan Covid-19 dan 20 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi kes dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat seramai 282 kes iaitu 214 disahkan COVID-19 serta 68 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Mengenai kes baharu, Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan 4,912 kes tempatan dengan 4,690 kes adalah warga negara manakala 222 warga asing.

Sementara itu, terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang membabitkan tujuh warga negara dan tiga warga asing.

Mengenai tiga kluster baharu yang dikesan , Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan masing-masing satu kluster tempat kerja, institusi pendidikan tinggi dan dalam kalangan komuniti.

Kluster tempat kerja dikesan di Kuala Muda, Kedah, Institusi pendidikan tinggi (Titiwangsa, Kuala Lumpur) dan dalam kalangan komuniti (Kota Tinggi, Johor). Perkembangan itu menjadikan sehingga kini terdapat 355 kluster yang masih aktif.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan, sehingga tengah hari ini sejumlah 5,579 kes sembuh dilaporkan kepada pihaknya menjadikan sehingga kini seramai 2,401,823 pesakit Covid-19 sudah pulih sepenuhnya.

Related posts

Leave a Comment