DAP kemuka dua muka baharu

KUALA LUMPUR 5 Nov. – DAP mengemukakan dua muka baharu, di samping mengekalkan enam penyandang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata dua calon muka baharu, Muhammad Danish Zainudin, 25, dicalonkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, manakala Leng Chau Yen, 37, di DUN Bandar Hilir.

“Semua lapan calon itu akan bertanding menggunakan logo Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang media majlis pengumuman calon parti itu secara maya di Facebook DAP Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew dan veteran DAP, Lim Kit Siang.

Guan Eng turut mengakui kempen PRN Melaka mencabar kerana semua parti tidak dibenarkan menjalankan kempen secara terbuka serta bersemuka membabitkan jentera parti.

Kita akan bertanding dalam keadaan amat sukar kerana tidak boleh berkempen langsung.

“Disebabkan tidak boleh berkempen, kita tidak tahu macam mana untuk memperkenalkan calon dan menerangkan kepada rakyat program yang mahu laksanakan apabila kembali menjadi kerajaan,” katanya.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Ketika ini PH mempunyai 11 kerusi iaitu DAP (tujuh), masing-masing dua Amanah dan PKR serta Barisan Nasional (BN) sebanyak 12 kerusi dan satu kerusi oleh Perikatan Nasional (PN).

1. G Saminathan – DUN Gadek

2. Muhamad Danish Zainudin (baharu) – DUN Pengkalan Batu

3. Kerk Chee Yee – DUN Ayer Keroh

4. Allex Seah Shoo Chin – DUN Kesidang

5. Damian Yeo Shen Li – DUN Duyong

6. Leng Chau Yen (baharu) – DUN Bandar Hilir

7. Tey Kok Kiew – DUN Bemban

8. Low Chee Leong – DUN Kota Laksamana

Related posts

Leave a Comment