Kadar kematian meningkat

PUTRAJAYA 1 Nov. – Kebanyakan indikator utama dalam penularan Covid-19 di negara ini menunjukkan trend penurunan, namun kadar kematian menunjukkan peningkatan 5.2 peratus berbanding minggu epidemiologi ke-42 (ME-42).

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pada ME ke-42, sejumlah 496 kes kematian dilaporkan tetapi meningkat kepada 522 kes.

“Kadar kematian semasa adalah sebanyak 1.1 peratus dan kadar kematian keseluruhan adalah 1.2 peratus. Sarawak, Perlis dan Pulau Pinang mencatatkan insiden kes kematian tertinggi bagi setiap satu juta populasi,” katanya.

Dr Noor Hisham dalam kenyataannya berkata, peningkatan turut dilihat pada nilai kebolehjangkitan (Rt) negara sejak 23 Oktober lalu.

Nilai Rt yang melebihi angka satu itu menunjukkan potensi berlakunya rantaian penularan jangkitan Covid-19 seperti yang berlaku pada permulaan gelombang ketiga terdahulu.

Turut dilihat ialah peningkatan kluster institusi pendidikan susulan pembukaan semula institusi pengajian tinggi secara bersemuka bermula ME-41.

“Sebanyak 46 kluster dilaporkan pada ME-43 yang terdiri daripada kluster tempat kerja (25), institusi pendidikan (sembilan), komuniti (tujuh) dan kumpulan berisiko tinggi (lima),” katanya.

Mengenai trend penurunan indikator utama Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, minggu ME ke-43 iaitu 24 Oktober hingga 30 Oktober itu, sejumlah 40,613 kes baharu dilaporkan, menurun 2.2 peratus berbanding 41,508 kes (ME ke-42).

Kelantan, Putrajaya dan Melaka melaporkan kadar insiden kes tertinggi bagi setiap 10,000 penduduk. Bagi kes aktif pada ME ke-42 adalah sebanyak 83,605 kes menurun sejumlah 15 peratus menjadi 70,829 kes. Kadar penurunan bagi kes aktif itu dapat dilihat sejak lapan minggu lalu.

Bagi kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) ia turut menunjukkan penurunan sebanyak 12 peratus iaitu 571 kes (ME-42) kepada 505 kes (ME-43).

Kes yang memerlukan bantuan pernafasan turut menurun 14.4 peratus iaitu 250 kes (ME-42) kepada 214 kes (ME-43) dan penurunan itu dilihat sejak 11 minggu lalu.

Bagi pemberian vaksin di negara ini, sehingga 30 Oktober lalu sejumlah 25,299,759 individu sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19.

Related posts

Leave a Comment