Pengimarahan masjid di Selangor

SHAH ALAM 1 Nov. – Mulai Jumaat ini, Selangor meningkatkan had kehadiran jemaah mengikut kategori masjid dan surau manakala jemaah untuk solat fardhu lima waktu juga dinaikkan mulai hari ini.

Menurut Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) had dinaikkan kepada 3,500 jemaah manakala solat fardhu lima waktu 500 orang.

Bagi Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pula, solat Jumaat dibenarkan 1,500 orang dan solat fardhu lima waktu 400; Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya 2,000 (400); Masjid Diraja Sultan Suleiman Klang 700 (300).

Masjid Sultan Abdul Aziz Pulau Indah 400 (300) dan Masjid Diraja Sultan Ala’eddin Kg Bandar Jugra, Banting 400 (300).

Bagi masjid-masjid daerah pula jumlah yang ditetapkan adalah antara 700 hingga 1,000 jemaah bagi solat Jumaat manakala 300 jemaah bagi solat fardhu.

Masjid institusi pula masing-masing ditetapkan seramai 500 hingga 1,200 jemaah manakala solat fardhu lima waktu 300 jemaah.

Manakala bagi masjid pengurusan pula ditetapkan seramai 700  jemaah bagi solat Jumaat dan 300 bagi solat fardhu lima waktu, masjid kariah 500 untuk solat Jumaat dan 300 solat fardhu.

Surau kebenaran solat Jumaat pula ditetapkan 400 jemaah sementara solat fardhu 200 jemaah termasuk surau kariah dan musolla.

Jemaah juga dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memakai pelitup mulut dan hidung,membawa sejadah saiz standard, berwuduk dari rumah, mengekalkan penjarakan fizikal dan merekodkan kehadiran.

Disamping itu, selain kuliah Subuh, Maghrib dan tazkirah Jumaat yang dibenarkan sebelum ini, aktiviti pengimarahan lain juga boleh dilaksanakan berikutan pertambahan had jemaah di surau dan masjid.

Ini termasuk forum, diskusi, ceramah perdana, kelas pengajian bersijil, Kelas Kafa, daurah, aktiviti kursus dan latihan.

Related posts

Leave a Comment