Kadar kematian rendah di Singapura

SINGAPURA 1 Nov. – Kadar kematian akibat Covid-19 di Singapura adalah 0.2 peratus, lebih rendah berbanding kadar kematian 3 peratus di negara-negara lain, menjadikannya salah satu negara dengan kadar kematian terendah di dunia.

Walaupun ini bermakna kadar kematian Covid-19 di Singapura adalah serupa dengan jangkitan radang paru-paru, negara ini mungkin mencatat 2,000 kematian setiap tahun “meskipun dengan adanya jagaan perubatan yang terbaik”.

Sebelum pandemik, kira-kira 4,000 pesakit – sebahagian besar golongan warga emas dan individu kurang sihat – meninggal dunia disebabkan demam selesema, radang paru-paru berjangkit dan penyakit pernafasan yang lain.

Menteri Negara Kanan di Kementerian Kesihatan Janil Puthucheary memberitahu Parlimen hari ini matlamat Singapura untuk memastikan jumlah keseluruhan kematian di sini adalah sejajar dengan tahun-tahun tanpa jangkitan koronavirus.

Menurutnya Singapura dapat memastikan kadar kematian kekal rendah disebabkan oleh langkah-langkah sekatan ketat seperti penjejakan kontak.

“Walaupun jumlah kes meningkat pantas, kadar kematian kini kekal rendah kerana kita sudah mencapai kadar vaksinasi yang tinggi, dan pesakit menerima rawatan yang diperlukan,” katanya.

Katanya,  walaupun sistem jagaan kesihatan menghadapi tekanan, ia tidak di luar kemampuannya,  tidak seperti kebanyakan negara pada tahun lalu, di mana hospital terpaksa menolak pesakit dan doktor terpaksa memilih pesakit yang perlu diselamatkan dulu.

Negara-negara itu mengalami “jumlah kematian berlebihan”, di mana lebih ramai orang daripada jangkaan meninggal dunia dalam setahun.

Singapura katanya cuba sedaya upaya untuk mengelakkan keadaan serupa daripada berlaku di sini dengan mengekalkan langkah-langkah sekatan ketat pada tahun lalu sebelum melaksanakan pembukaan semula dengan penuh berhati-hati setelah sebahagian besar penduduk sudah divaksin.

Related posts

Leave a Comment