8,165 kes baharu di Thailand

BANGKOK 1 Nov. – Angka jangkitan Covid-19 hari ini merekodkan 8,165 kes, menunjukkan sedikit penurunan berbanding 8,859 yang direkodkan semalam dengan jumlah kematian meningkat kepada 55 berbanding 47 kes semalam.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat hari ini 1,920,189 dan 19,260 orang meninggal dunia.

Sejak gelombang ketiga Covid-19 pada 1 April lalu, Thailand merekodkan 1,891,326 kes di mana 1,774,276 dilaporkan sembuh dengan jumlah kematian 19,166 orang.

Manakala sejak pandemik bermula awal tahun lalu,  sebanyak 1,920,189 kes direkodkan dengan 1,801,702 kes sembuh dan 19,260 kematian.

Menurut Kementerian Kesihatan Awam, terdapat 7,640 kes dalam kalangan orang awam termasuk sembilan kes import dan 525 orang banduan.

Semalam, sebanyak 9,574 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh.

Sementara itu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 melaporkan 55 kes kematian melibatkan mereka yang berumur antara 24 hingga 95 tahun.

Bangkok merekodkan 10 kematian dan juga merekodkan kes jangkitan harian tertinggi iaitu 625 kes diikuti Nakhon Si Thammarat 539, Songkhla 476, Pattani 448,  Chiang Mai 378, Narathiwat 351, Trang 295, Yala 290, Chon Buri 259, dan Samut Prakan 249.

Sembilan kes import pula melibatkan ketibaan dari Amerika Syarikat (1), Switzerland (1), Kemboja (4), Myanmar (2) dan Singapura (1).

Pada Ahad terdapat 99,227 orang mendapatkan rawatan Covid-19 di hospital termasuk 2,221 pesakit yang kritikal dan 494 bergantung kepada ventilator.

Related posts

Leave a Comment