PRK Kemaman 2 Disember

PUTRAJAYA 17 Okt. –  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada Sabtu, 2 Disember 2023  dengan 18 November sebagai hari penamaan calon.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, berkata hari pengundian awal pula ditetapkan pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari manakala jumlah layak mengundi sebanyak 141,790 orang.

“Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 18 November 2023 sehingga jam 11.59 malam, 1 Disember 2023,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

PRK Kemaman diadakan berikutan pemakluman kekosongan kerusi berkenaan oleh SPR kepada Parlimen pada 4 Oktober lalu.

Terdahulu Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September, membatalkan kemenangan Che Alias Hamid (PN) selepas pihak pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya di kawasan terbabit.

Susulan keputusan mahkamah itu, pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan, sebaliknya bersedia menghadapi PRK pada bila-bila masa.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Che Alias, memenangi kerusi Kemaman dengan majoriti 27,179 undi, selepas memperoleh undi sebanyak 65,714 sekali gus menewaskan Ahmad Said (BN) yang memperoleh undi sebanyak 38,535.

Dua lagi calon yang bertanding ketika itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing-masing mendapat 506 dan 8,340 undi.

Susulan kekalahan itu, BN memfailkan petisyen terhadap keputusan PRU15 Parlimen Kemaman atas dakwaan berlaku kegiatan rasuah.

Sementara itu Abdul Ghani berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos bagi PRK ini akan dibuka bermula hari ini.

Katanya, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tujuh Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses pilihan raya manakala lima pasukan penguatkuasa ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen sepanjang PRK.

“Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang akan digunakan adalah di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul.

Seramai 2,012 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Kemaman, manakala sebanyak 49 pusat mengundi biasa yang mengandungi 244 saluran serta empat pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi satu tempat saluran awal akan digunakan,” katanya.

Beliau berkata, PRK Kemaman memerlukan peruntukan sebanyak RM3.5 juta.

Selain itu, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK terbabit adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan setakat Ogos lalu yang dikemaskini pada 3 Oktober lalu.

Ia mengandungi seramai 141,790 orang pemilih yang terdiri daripada 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis dan sembilan anggota tentera dan pasangan, dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

PRK Parlimen Kemaman adalah PRK yang kelima diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu dan Pulai, DUN Simpang Jeram dan DUN Pelangai.

Related posts

Leave a Comment