SOP sama rata di PRN Melaka

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Tiada pilih kasih sebaliknya tindakan sama rata dalam penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk yang melibatkan majlis rasmi kerajaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein berkata, walaupun dipertikaikan banyak pihak, SOP berkenaan amat perlu supaya semua tindak balas kerajaan dalam mengharungi Covid-19 selama ini tidak terjejas hanya disebabkan PRN.

Katanya, semua pihak, termasuk parti politik dari blok kerajaan, perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Jadi, tindakan sama rata mesti diamalkan supaya orang tidak melihat ada pilih kasih dalam kita mahu menguatkuasakan SOP sedia ada sehingga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil alih (pemantauan SOP) pada 8 November ini,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau percaya larangan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap semua perhimpunan berkaitan pilihan raya berkuatkuasa hari ini adalah selepas mengambil pelanggaran SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) melibatkan parti-parti politik.

Jelas Ahli Parlimen Sembrong itu lagi, sehingga SPR mengumumkan SOP lebih ketat semua pihak perlu mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat terhadap parti politik.

“Ketika ini, kerana SPR hanya dipertanggungjawabkan dalam perjalanan pilihan raya selepas 8 Nov, maka sebelumnya (25 Okt – 7 Nov) tanggungjawab bawah Akta 342 terletak atas bahu KKM, dipantau MKN, dan dikuatkuasa oleh KDN.

“Jadi dari hari ini sampai 8 Nov, kita kena pastikan tidak ada perkara yang boleh menimbulkan, atau mengundang kemarahan rakyat, terhadap ahli politik, atau parti-parti politik,” katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini mengumumkan larangan terhadap sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya, mulai 25 Oktober sehingga 27 Nov 2021.

Beliau berkata, larangan itu dibuat selepas pemantauan KKM mendapati terdapat parti-parti politik termasuk UMNO gagal mematuhi SOP seperti di beberapa majlis kebelakangan ini.

Di Dewan Rakyat awal hari ini, Ahli Parlimen Kulim – Bandar Baharu Saifuddin Nasution menzahirkan kegusaran parti politik blok kerajaan akan menyalahguna kebenaran majlis rasmi di bawah Fasa 4 PPN untuk tujuan berkempen.

Beliau berkata, adalah tidak adil sekiranya parti kerajaan dibenarkan membuat program rasmi, sedangkan parti-parti lain perlu mengikut SOP ketat oleh SPR.

Mengulas kegusaran itu, Hishammuddin berkata, jika perkara itu tidak dibenarkan termasuk dalam SOP sebelum ini, maka kerajaan juga terikat, dan penguatkuasaan tidak boleh berat sebelah.

“Kalau ianya merupakan satu yang kita tak benarkan seperti diumumkan, ini juga mengikat kerajaan. Tindakan sama rata mesti diamalkan supaya orang tak lihat ada double standard dalam kita nak laksanakan, dan pantau SOP yang sedia ada sehingga SPR mengambil alih pada 8 Nov ini, dalam masa kempen Pilihan Raya Negeri Melaka,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment