Hidup ‘selamat bersama Covid-19’

SINGAPURA 24 Okt. – Singapura tidak boleh selama-lamanya melaksanakan sekatan Covid-19, atau ‘lepas tangan’ dan membiarkan keadaan menjadi lebih buruk, kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

“Kita perlu melalui perjalanan ini untuk hidup bersama Covid-19 dengan selamat. Kita ingin sampai ke tahap itu dengan serendah mungkin bilangan terkorban.

“Laluan yang diambil MTF (Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian) mencerminkan penilaian kami mengenai cara terbaik untuk melakukannya,” katanya dalam catatan di Facebook semalam.

Sebelum itu, pada satu sidang akhbar, MTF berkata beberapa langkah kawalan Covid-19 boleh dilonggarkan jika kadar pertumbuhan jangkitan mingguan merosot kepada di bawah satu kes.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan merujuk kepada nisbah bilangan kes Covid-19 dalam seminggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

“Ramai daripada anda menulis kepada saya untuk meluahkan rasa kecewa terhadap sekatan manakala ada pula yang prihatin kami membuka terlalu pantas.

“Saya faham sepenuhnya perasaan anda. Perjalanannya masih jauh dan ketidaktentuan serta gangguan yang berterusan ini memang sukar bagi kita semua,” kata Hsien Loong.

Beliau menggesa orang ramai terus kekal menjaga keselamatan, memenuhi tanggungjawab sosial serta mengambil suntikan penggalak apabila ditawarkan untuk mengurangkan kemungkinan sakit teruk atau perlu rawatan ICU jika dijangkiti.

Related posts

Leave a Comment