Hanya lengkap vaksin dibenar ke pejabat

SINGAPURA 24 Okt. –  Mulai 1 Januari, hanya pekerja yang sudah lengkap divaksin atau sudah pulih daripada Covid-19 dalam tempoh 270 hari terakhir akan dibenarkan kembali ke tempat kerja.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH) semalam, pekerja yang tidak divaksin tidak akan dibenarkan kembali ke tempat kerja mereka melainkan mereka diuji negatif Covid-19.

Mereka juga perlu menanggung sendiri kos ujian dan ujian hendaklah dijalankan di penyedia yang diluluskan MoH dan mesti sah selama tempoh pekerja dikehendaki berada di tempat kerja mereka.

Keputusan ujian pantas antigen (ART) yang negatif sah selama 24 jam.

Syarat ujian juga dikuat kuasakan ke atas pekerja yang hamil atau mereka uang tidak layak secara perubatan untuk divaksin.

Rakan kerja tiga pihak setuju dengan pertimbangan khas yang harus diberikan oleh majikan kepada kumpulan-kumpulan ini, seperti membenarkan mereka bekerja dari rumah tanpa menjejas prestasi dan mencapai persetujuan yang wajar mengenai pembahagian kos ujian.

MoH turut mengumumkan, mereka yang tidak layak dari segi perubatan untuk sebarang vaksin Covid-19 di bawah program vaksinasi nasional akan diberi pengecualian khas untuk memasuki tempat di mana vaksinasi diperlukan seperti pusat beli-belah.

Pengerusi Bersama Pasukan Bertindak Covid-19 Gan Kim Yong berkata, pengecualian itu akan berkuat kuasa mulai bulan depan.

“Bagi individu yang tidak layak dari segi perubatan untuk program vaksinasi nasional, kami akan memberi kelonggaran khas untuk mereka memasuki premis atau menyertai kegiatan di mana adanya sistem pengurusan selamat dibezakan mengikut status vaksin, seperti pusat beli-belah, daya tarikan, pusat penjaja dan kedai kopi, bermula 1 Nov 2021,” kata Gan semasa sidang media semalam.

“Bagi mereka yang tidak layak dari segi perubatan bagi vaksin mRNA tetapi layak untuk Sinovac, mereka perlu mendapatkan suntikan Sinovac untuk dianggap sebagai lengkap divaksin.” katanya.

Individu sedemikian akan diberi tempoh kelonggaran sehingga 31 Disember untuk mendapatkan suntikan Sinovac mereka.

Gan juga mengumumkan bahawa vaksin Sinovac Covid-19 akan dimasukkan dalam program vaksinasi nasional Singapura.

Related posts

Leave a Comment