Mamat Khalid meninggal dunia

SLIM RIVER 24 Okt. – Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid meninggal dunia akibat serangan jantung dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, pukul 12.30 tengah malam tadi.

Mohamad Mohamad Khalid, 58 dipercayai mendapat serangan jantung dan tidak sedarkan diri ketika berada di Sarang Art Hub.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah, berkata Allahyarham dikejarkan ke Hospital Slim River menaiki ambulans dan menghembuskan nafas yang terakhir di dalam ambulans.

Katanya, seluruh kepemimpinan tertinggi Seniman Malaysia serta barisan exco dan ahli-ahli Seniman mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Seniman mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Mamat dikenali dengan filem-filem arahannya antaranya Zombie Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan banyak lagi.

Selain itu Allahyarham juga diingati dengan drama-drama komedi arahannya antaranya Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya dan 16 Puasa.

Allahyarham juga merupakan penulis skrip bagi filem epik legenda Puteri Gunung Ledang, yang dibintangi oleh Tiara Jacquelina dan M. Nasir.

Satu laporan lain pula memetik isterinya, Hasmah Hassan berkata, semalam

Sarang Art Hub ada persembahan dari kumpulan Pasukan Gerak Am (PGA) Batalion 3 Orang Asli. Arwah suka melayan tetamu, dan ikut serta membuat persembahan dengan bermain keyboard.

“Secara tiba-tiba, arwah tidak sedarkan diri dan tergigit lidah hingga berdarah ketika sedang buat persembahan.

Saya percaya arwah kepenatan dan tidak cukup tidur disebabkan baru balik membuat tinjauan lokasi penggambaran di Lumut,” katanya.

Hasmah berkata, jenazah arwah akan disemadikan di Ipoh, pagi ini.

“Selepas semua urusan selesai, jenazah akan dibawa ke Ipoh untuk dikebumikan. Abangnya,  Lat mohon supaya pengebumian arwah dipercepatkan,” katanya.

Allahyarham Mamat meninggalkan seorang balu dan lima orang cahaya mata.

Beliau memulakan kerjaya awal di pejabat kerajaan, sebelum menceburi bidang perfileman dengan mengarahkan filem komedi pertama berjudul Lang Buana.

Antara filem sentuhannya termasuklah Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Man Laksa, Kala Malam Bulan Mengambang, Apokalips X dan Hantu Kak Limah Balik Rumah yang turut meraih kutipan pecah panggung.

Sepanjang hayat, arwah pernah memenangi trofi Pengarah Terbaik, Festival Filem Malaysia sebanyak tiga kali menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang, Estet dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Selain aktif dalam bidang perfileman, arwah juga pengasas dan pemilik kafe, Sarang Art Hub yang beroperasi di Tanjung Malim.

Related posts

Leave a Comment