Erdogan arah usir 10 duta

ANKARA 24 Okt. – Presiden Recep Tayyip Erdogan mengarahkan Menteri Luarnya mengusir 10 duta termasuk duta Jerman dan Amerika Syarikat (AS) yang berterusan meminta pembebasan seorang pemimpin awam.

Arahan itu susulan kenyataan bersama dikeluarkan kumpulan duta terbabit yang menyatakan bahawa penahanan aktivis kelahiran Parsi, Osman Kavala ‘membayangi’ Turki.

“Saya sudah mengarahkan supaya Menteri Luar mengisytihar 10 duta ini sebagai persona non grata secepat mungkin.

“Mereka perlu meninggalkan negara ini,” katanya yang menuduh mereka sebagai tidak senonoh.

Dalam kenyataan bersama pada 18 Oktober lalu, duta Jerman, AS, Kanada, Denmark, Perancis, Belanda, Norway, Sweden, Finland dan New Zealand mendesak penyelesaian yang adil dan segera bagi kes Kavala selain pembebasan segera pemimpin itu.

Kesemua mereka dipanggil Kementerian Luar yang menyifatkan kenyataan itu tidak bertanggungjawab.

Kavala, 64, dipenjara tanpa sabitan sejak 2017 di atas tuduhan berkaitan rampasan kuasa pada 2016 dan tunjuk perasaan antikerajaan pada 2013

Sementara itu, beberapa negara Eropah memaklumkan mereka tidak menerima sebarang notis daripada Turki berhubung perkara terbabit.

“Kami kini sedang berunding bersama sembilan lagi negara berhubung perkara ini,” menurut Kementerian Luar Jerman.

Related posts

Leave a Comment