252,000 ruang solat Tarawih di Singapura

SINGAPURA menyediakan 252,000 ruang solat di masjid-masjid seluruh Singapura untuk umat Islam menunaikan solat Tarawih pada tahun ini.

Bagaimanapun majlis berbuka puasa secara beramai-ramai di masjid, solat tarawih di kolong blok atau ruang terbuka dan bersahur di masjid-masjid tidak dibenarkan.

Manakala tadarus al-Quran, Qiamullail dan khatam al-Quran dihadkan.

Perkara itu diumumkan  oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sempena pelancaran Kempen Sentuhan Ramadan 2021 hari ini, Sabtu 20 Mac.

Keputusan itu selaras dengan langkah-langkah pengurusan selamat yang dikuatkuasakan oleh pemerintah bagi membendung penularan Covid-19.

Bagi solat tarawih, para jemaah perlu menempah ruang seperti yang dilakukan sekarang bagi solat Jumaat dan solat lima waktu.

Menurut Pengarah Kanan Masjid MUIS Mohd Helmy Isa jemaah boleh menempah ruang untuk solat Isyak di masjid seterusnya ibadah Tarawih di masjid yang sama.

Beliau turut menjelaskan bahawa sepanjang bulan Ramadan, umat Islam hanya boleh menempah ruang solat bagi solat Tarawih sekali saja dan setiap sesi solat Tarawih akan dihadkan kepada satu jam sahaja.

Ruang solat yang disediakan bagi jemaah wanita, bagaimanapun, hanya di masjid-masjid tertentu.

Pada 10 hari terakhir Ramadan pula, dua tempoh tempahan akan disediakan untuk umat Islam melakukan ibadah Qiyamullail dengan 25,000 ruang akan disediakan bagi setiap tempoh.

Maklumat lanjut akan diumumkan kemudian.

Tahun lalu sepanjang Ramadan masjid-masjid ditutup dan para jemaah menyambut bulan Ramadan di rumah.

Related posts

Leave a Comment