Kelonggaran berdasar jangkitan

SINGAPURA 23 Okt. – Singapura akan melonggarkan beberapa peraturan seperti membenarkan isi rumah yang tinggal sebumbung makan bersama di luar jika kadar pertumbuhan jangkitan mingguan turun di bawah 1.

Pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian (MTF) Lawrence Wong berkata, kadar pertumbuhan jangkitan mingguan merujuk kepada nisbah kes Covid-19 dalam masyarakat sepanjang seminggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Nisbah sebelum ini ialah 1.5, yang menunjukkan bahawa kes meningkat seganda setiap minggu. Ia kini jatuh kepada “lebih sedikit daripada 1″l

Ini bermakna kes masih meningkat tetapi pada kadar yang lebih perlahan. Tetapi oleh kerana kes masih meningkat, ia masih menyebabkan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan kita.

“Kami memantau nisbah ini dengan teliti, dan jika ia berada di bawah 1 dan keadaan hospital dan ICU kekal stabil, kami akan membuat beberapa pelonggaran yang bersasar dalam tiga bidang,” katanya.

Kelonggaran itu termasuk membenarkan sukan secara berpasukan bagi kumpulan sehingga lima orang, menyambung semula lebih banyak kegiatan di sekolah dan institusi pengajian tinggi, dan membenarkan anggota keluarga yang tinggal serumah menjamu selera di kedai makanan dan minuman (F&B) dalam kumpulan sehingga lima orang.

“Ini adalah pendekatan yang lebih tersusun di mana kami menilai sama ada risiko itu dapat diterima,” kata Menteri Kewangan itu.

Wong sedar bahawa orang ramai mempersoal tentang sebab melonggarkan langkah-langkah tertentu tetapi tidak pula langkah-langkah lain.

“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengambil pendekatan jalan tengah, untuk tidak bersikap keterlaluan atau tidak berubah daripada kedudukan sedia ada, atau terlalu terbuka dan mempertaruhkan lonjakan kes yang boleh membebankan sistem penjagaan kesihatan kita,” tambahnya.

Related posts

Leave a Comment