PUTRAJAYA 23 Okt. – Sebanyak 72.2 peratus atau 23,565,799 penduduk di negara ini telah lengkap vaksinasi, manakala 1,778,402 atau 5.4 peratus belum lengkap dan tiada vaksinasi seramai 508,102 atau 23 peratus.
Setakat ini, 48,831,214 dos suntikan sudah diberikan dalam program vaksinasi, manakala bagi dos penggalak pula, sebanyak 84,941 dos suntikan.
Sementara itu kadar vaksinasi Covid-19 di Kelantan dan Sabah adalah yang paling rendah dengan jumlah penduduk lengkap menerima pelalian berkenaan setakat ini, masing-masing direkodkan hanya pada 55.5 dan 55.9 peratus.
Menurut laman web COVIDNOW, setakat semalam, hanya dua negeri itu berada pada paras sekitar 50 peratus bagi imunisasi lengkap, manakala empat negeri, iaitu Perak, Kedah, Pahang dan Terengganu mencapai angka 60 peratus.
Di Kelantan, jumlah penduduk dewasa lengkap vaksin adalah pada 77.3 peratus dan dos pertama pada 80.9 peratus, manakala remaja lengkap vaksinasi pada 48.3 peratus dan dos pertama pada 78.1 peratus.
Di Sabah pula, jumlah penduduk sudah menerima dos pertama adalah 60.5 peratus dengan golongan dewasa lengkap vaksinasi pada 71.8 peratus dan belum lengkap pada 76.5 peratus, manakala remaja lengkap vaksinasi pada 47.2 peratus dan belum lengkap pada 59.1 peratus.
Menurut COVIDNOW, satu-satunya negeri yang melebihi peratusan 80 peratus vaksinasi penduduknya adalah Lembah Klang dengan 86.7 peratus, diikuti Pulau Pinang 78.9 peratus, Negeri Sembilan 76.7 peratus, Labuan 76.4 peratus, Perlis 73.7 peratus, Johor 72.6 peratus, Melaka 72.4 peratus serta Sarawak 72.3 peratus.
