Vaksinasi remaja terpantas

PUTRAJAYA 22 Okt. – Malaysia menjadi antara negara yang memberikan suntikan vaksin kepada remaja paling cepat di dunia, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

“Dalam tempoh dua bulan, kita mampu memberikan 80 peratus penduduk berusia 12-17 tahun sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Pfizer. Salah satu pemberian vaksin COVID-19 remaja terpantas di dunia,” katanya dalam Twitter, hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini dilaporkan menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada keseluruhan 3.2 juta remaja di negara ini menerima suntikan dua dos vaksin Covid-19, menjelang hujung tahun ini atau selewat-lewatnya sebelum sesi persekolahan 2022 bermula.

Sementara itu, tinjauan di laman web COVIDNOW mendapati, setakat semalam, jumlah penerima remaja sekurang-kurangnya satu dos vaksin sebanyak 80.9 peratus dan mereka yang lengkap divaksinasi adalah 43.4 peratus.

Labuan 65.7 peratus mencatat peratusan tertinggi menerima vaksin itu diikuti Sarawak 61.2 peratus, Kedah 57.1 peratus, Melaka 55.8 peratus, Pahang 55.4 peratus dan Perlis 53.1 peratus.

Terendah adalah Lembah Klang 28.8 peratus, Negeri Sembilan 36.6 peratus dan Johor 37.7 peratus.

Negeri Kelantan, Sabah, Terengganu, Perak dan Pulau Pulau Pinang pula dilihat masih dalam kadar 40 peratus sahaja.

Menerusi data itu juga, unjuran 80 peratus remaja akan lengkap divaksinasi dijangka adalah 19 November depan dengan 2,518,000 akan divaksin manakala dalam tempoh seminggu sahaja, dijangka akan meningkat kepada 60 peratus lengkap divaksin sepenuhnya.

Related posts

Leave a Comment