Singapura gembira kesediaan Australia

SINGAPURA 22 Okt. – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong gembira kesediaan Australia membuka semula kemasukan pelawat warganegara itu selepas ditutup akibat pandemik Covid-19.

Dalam catatan facebooknya, Lee berkata, Singapura dan Australia mempunyai hubungan ekonomi dan pelaburan yang kukuh, serta pertalian mesra antara penduduk.

“Sangat mengalu-alukan keterhubungan rapat antara kedua-dua negara disambung semula sedang kita bergerak menuju ke masa depan endemik Covid,” kata Lee mengulas kenyataan rakan sejawatannya  Scott Morrison.

Perdana Menteri Australia itu pada sidang medianya berkata, Australia sedang dalam “tahap akhir” rundingan dengan Singapura untuk melaksanakan aturan perjalanan baharu antara kedua-dua negara “dalam temoh seminggu”.

Perbincangan tertumpu kepada isu membolehkan pelajar dan pelawat perniagaan yang lengkap divaksin memanfaatkan aturan itu terlebih dahulu, sebelum dibuka kepada pelancong.

Aturan khas perjalanan itu akan bergantung kepada syarat kuarantin di setiap wilayah, namun New South Wales dan Victoria sudahpun menggugurkan syarat kuarantin hotel wajib bagi pelancong antarabangsa yang sudah divaksin sejak 1 November, menurut laporan itu.

“Langkah pertama adalah membawa pulang warga Australia,” kata Morrison.

Ini diikuti mereka yang mempunyai visa pelajar, pelawat perniagaan, karyawan hijrahan dan pelawat antarabangsa.

Katanya, Australia mungkin menyambut pelawat antarabangsa sebelum hujung tahun tetapi  tidak akan tergesa-gesa untuk membuka semula sempadannya, dengan menekankan pembukaan semula adalah selamat.

Related posts

Leave a Comment