Perubahan tarikh dua hari raya

SINGAPURA 21 Okt. – Tarikh Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bagi tahun 2022 seperti yang diumumkan pada April lalu oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) kini diubah.

Hari Raya Aidilfitri akan jatuh pada 3 Mei manakala Aidiladha pada 10 Julai bukan lagi 2 Mei dan 9 Julai yang diumumkan sebelum ini.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS),  tarikh itu disemak semula berdasarkan imkanur rukyah yang kriterianya disemak semula.

Imkanur rukyah adalah tradisi menentukan awal bulan Islam dengan cara mencerap hilal (anak bulan).

“Badan penguasa Islam tertinggi Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura sebulat suara bersepakat untuk menggunakan kriteria yang disemak semula untuk kiraan hisab bagi penentuan kalender Islam bermula dari tahun 2022,” kata MUIS.

Dengan perubahan ini bermakna, tarikh-tarikh penting dalam kalender Islam, seperti Awal Muharram, tarikh bermulanya bulan puasa serta ibadah haji akan terjejas.

MUIS turut menjelaskan bahawa persetujuan perihal perubahan tarikh-tarikh penting itu dicapai dalam kalangan negara-negara anggota selepas timbul pelbagai penemuan baru hasil kerja-kerja penyelidikan.

Related posts

Leave a Comment