Banyakkan doa dan selawat

BANDAR SERI BEGAWAN 19 Okt. – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bertitah bahawa umat Islam wajib mempunyai ‘sangkaan baik’ terhadap Allah SWT kerana apa jua yang ditentukan oleh-Nya adalah baik.

“ Sesungguhnya Allah itu tidak pernah menzalimi sesiapa,” titah baginda dalam perutusan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1443 Hijrah / 2021 Masihi semalam.

Baginda bertitah bahawa ‘Selawat’ ke atas Nabi kita, Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah salah satu jenis doa atau jenis zikir yang sangat tajam untuk menyampaikan hajat. 

Justeru, Baginda menzahirkan harapan agar umat Islam memperbanyakkan selawat sebagai doa dan zikir untuk melepaskan atau membebaskan diri kita daripada musibah koronavirus.

Baginda bersyukur kerana dapat menyambut bulan yang istimewa, Rabiulawal, bulan diputerakan Junjungan Besar kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Titah baginda, walaupun buat pertama kalinya tidak akan meraikan Sambutan Maulidur Rasul secara berhimpun beramai-ramai kerana penularan wabak Covid-19, namun masih dapat menyambutnya dengan majlis bersesuaian dengan keadaan.

“Ini tidak syak lagi adalah satu ujian berat yang belum pernah berlaku. Namun kita selaku umat yang berakidah, wajiblah melihatnya sebagai ada hikmah di sebalik itu,” titah baginda.

Titah baginda, kita sesungguhnya tidaklah tahu hakikat hikmah, justeru Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216 bagi memberitahu kita akan kedudukan hikmah itu, dengan tafsirnya :

“…Boleh jadi sesuatu yang kamu benci (tidak sukai), padahal ia adalah baik bagi kamu, dan (begitu juga) boleh jadi sesuatu yang kamu suka, padahal ia buruk tidak baik bagi kamu. (Ingatlah), hanya Allah jua yang mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”.

Baginda bertitah, jika Allah mendatangkan satu-satu ujian, ia bukannya satu penzaliman, tetapi mungkin satu pengajaran atau cara untuk Allah menambahkan lagi darjat seseorang, sekiranya seseorang yang diuji itu sanggup bersabar menerima ujian tersebut. 

“Demikianlah yang patut kita fahami mengenai satu-satu situasi yang berlaku. Namun untuk menghadapinya, kita tidak dikehendaki diam, tetapi disuruh untuk berikhtiar bagi memperolehi sesuatu yang terbaik,” titah baginda. 

Baginda seterusnya mengajak umat Islam berdoa, sama ada dalam senang atau susah.

“Kita berdoa dalam senang, supaya dikekalkan kesenangan dan berdoa dalam susah, supaya dihapuskan kesusahan,” titah baginda.

Di samping meneruskan bacaan ayat suci al-Quran, doa dan zikir yang sedang berjalan pada masa ini, khusus untuk sepanjang bulan Rabiulawal ini, baginda menitahkan perbanyakkan rancangan ‘Selawat’ dengan lebih kerap.

Baginda bertitah menyeru agar orang ramai secara bersendirian jangan ketinggalan untuk sama-sama mengamalkannya.

Related posts

Leave a Comment