Masjid dibuka selepas 70% lengkap 2 dos

BERAKAS 19 Okt. – Semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh Brunei Darussalam boleh dipertimbangkan untuk dibuka semula apabila jumlah vaksinasi lengkap rakyat dan penduduk di negara ini mencapai 70 peratus.

Menteri Hal Ehwal Ugama,  Ustaz Awang Badaruddin Awang Othman berkata, pembukaan masjid-masjid tersebut adalah untuk sembahyang fardu lima waktu dan Jumaat sementara aktiviti keagamaan lain ditangguhkan terlebih dahulu.

Bercakap pada sidang media semalam, beliau berkata keputusan itu dicapai selepas

Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) bersidang pada 14 Oktober lalu mengenai langkah pembukaan semula masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan itu juga tertakluk kepada penilaian Jawatankuasa Pandu Covid-19 dengan Kementerian Kesihatan adalah Pengerusi Bersama kepada jawatankuasa berkenaan.

Katanya, MUIB dalam menimbangkan langkah-langkah bagi pembukaan semula itu adalah dengan mengambil kira keterangan dan nasihat Kementerian Kesihatan juga bersandarkan hukum syarak.

Beliau menjelaskan ketika masjid dibuka nanti, anggota-anggota keselamatan beruniform akan membantu dan bekerjasama dengan Jawatankuasa Takmir Masjid bagi mengawal jemaah supaya benar-benar mematuhi SOP yang ditetapkan.

Setakat 18 Oktober, sebanyak 234,921 orang atau 51.8 peratus daripada penduduk telah melengkapkan dos vaksin manakala 75.9 peratus atau 344,342 telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Related posts

Leave a Comment