2,553 kes, enam kematian di Singapura

SINGAPURA 19 Okt. – Singapura melaporkan 2,553 kes baharu Covid-19 termasuk satu kes import semalam dengan enam lagi meninggal dunia akibat komplikasi daripada virus itu menjadikan jumlah keseluruhan 150,731 kes dan 239 kematian.

Kesemua pesakit yang meninggal dunia adalah rakyat Singapura, terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 78 dengan 93 tahun.

Empat daripada mereka tidak divaksin, seorang menerima satu dos dan seorang lagi sudah lengkap divaksin.

Kesemuanya mempunyai pelbagai masalah kesihatan sedia ada.

Dalam kalangan semua kes Covid-19 dalam masyarakat yang dirawat atau dimasukkan ke hospital, 15,132 pesakit atau 72.4 peratus sedang menjalani pemulihan di rumah.

Manakala 3,209 kes sedang dirawat di kemudahan jagaan masyarakat dan 858 kes Covid-19 pula di kemudahan rawatan.

Baki 1,714 pesakit sedang dirawat di hospital, dengan sebahagian besarnya sedang dipantau manakala  337 pesakit memerlukan bantuan oksigen dan 67 pesakit di unit jagaan rapi (ICU).

Sepanjang 28 hari yang lalu, daripada 71,834 individu yang terkena jangkitan, 1.1 peratus memerlukan bantuan oksigen dan 0.1 peratus dirawat di ICU.

Dalam kalangan mereka yang memerlukan bantuan pernafasan oksigen atau di ICU, 48.8 peratus sudah lengkap divaksin dan 51.2 peratus tidak divaksin atau belum lengkap divaksin.

Setakat ini 84 peratus penduduk sudah lengkap divaksinasi dan 85 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sementara 588,596 orang sudah menerima suntikan perangsang dan 83,000 membuat tempahan vaksin.

Related posts

Leave a Comment