PRN Melaka 20 November

MELAKA 18 Okt. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

“Tempoh berkempen pula adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November,” katanya pada sidang media, hari ini.

PRN Melaka perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14.

Speaker DUN Melaka, Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat Ahli DUN (ADUN) iaitu Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media, SPR menafikan vaksinasi lengkap sebagai syarat untuk pemilih mengundi di PRN itu.

SPR juga ingin menegaskan Garis Panduan Pencegahan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bagi tujuan PRU DUN Melaka Ke-15 masih belum dimuktamadkan.

SOP ini akan berpandukan kepada pandangan dan nasihat dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari semasa ke semasa.

Dalam sidang medianya, Abdul Ghani turut menjelaskan, mereka yang belum menerima vaksin Covid-19 adalah digalak berbuat demikian sebelum proses pengundian pada November depan.

Related posts

Leave a Comment