Lawatan kerja dua hari Jokowi bermula

KUALA LUMPUR 7 Jun – Malaysia dan Indonesia dijangka memeterai beberapa persefahaman bersama, sempena lawatan kerja dua hari Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia, bermula hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, persefahaman itu termasuk perihal berkaitan sempadan serta pemantapan proses interaksi kedua-dua negara.

Katanya , lawatan kerja Joko Widodo atau Jokowi itu antara lain bertujuan memantapkan hubungan sedia ada bersama Kerajaan Malaysia yang disifatkan penting bagi rantau ini dan di peringkat ASEAN.

Menurut Zambry perbincangan juga berkaitan menyelesaikan urusan tertangguh sebelum ini, termasuk mengenai kawasan sempadan dan hubungan persefahaman perdagangan dan pemantapan proses interaksi dua negara, membabitkan urusan tenaga kerja dan sebagainya.

“Ini dilakukan melalui pelbagai kementerian yang akan turut mewujudkan persefahaman berkenaan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Jokowi yang diiringi isterinya, Iriana Joko Widodo serta Menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan Indonesia itu dijadual tiba di Kuala Lumpur pada pukul 3 petang ini.

Lawatan beliau disifatkan cukup signifikan dalam usaha meningkatkan hubungan erat yang sudah lama terjalin antara Malaysia-Indonesia.

Dalam rangka lawatan itu juga Jokowi dijadual mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menilai kemajuan bidang kerjasama dan membincangkan isu dua hala yang tertunggak.

Terdahulu, Kementerian Luar dalam kenyataan berkata Perdana Menteri dan Presiden Jokowi dijangka bertukar-tukar pandangan berkenaan perkembangan isu-isu serantau dan global termasuklah pengukuhan ASEAN pasca 2025.

Menurut kenyataan itu, Jokowi turut dijadual menghadiri majlis santapan petang bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Related posts

Leave a Comment