Lebih baik tiada diskriminasi vaksin

PUTRAJAYA 16 Okt. – Individu yang mahu menunaikan umrah tetapi tidak menerima jenis vaksin yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi, boleh memohon kepada Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan suntikan penggalak mulai bulan depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata permohonan boleh dikemukakan menerusi aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, pada masa yang sama, Kementerian akan mengadakan perbincangan dengan negara berkenaan termasuk Arab Saudi dan United Kingdom (UK) supaya tidak mengamalkan diskriminasi vaksin.

“Saya mengambil contoh UK yang membenarkan rakyat Malaysia diberikan Pfizer dan AstraZeneca masuk tanpa kuarantin, malah turut mempertimbangkan permintaan kita untuk vaksin lain.

“Harapnya mereka akan bersetuju dan sama juga dengan Arab Saudi,” katanya pada sidang media selepas pelancaran 11th National Acute Myocardial Infarcation Course (NAMIC) 2021 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi dilapor membenarkan individu mengambil suntikan vaksinasi Sinovac menunaikan umrah, dengan syarat mendapatkan dos penggalak seperti ditetapkan.

Selain itu, beberapa agensi pelancongan memaklumkan mengenai syarat tambahan bagi umrah norma baharu termasuk suntikan Sinovac tidak diterima.

Ogos lalu, Kerajaan Arab Saudi meluluskan dua lagi vaksin Covid-19 iaitu Sinovac dan Sinopharm selain Oxford-AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Johnson & Johnson dan Moderna.

Khairy berkata, banyak negara Islam menggunakan vaksin Sinovac seperti Indonesia, Pakistan dan Turki, justeru adalah penting bagi kerajaan Arab Saudi memahami perkara itu.

“Ini perlu difahami pemerintah Arab Saudi tetapi dalam apa juga keadaan, kita akan memberikan dos penggalak (kepada bakal jemaah umrah dari Malaysia). Penyelesaian yang lebih mudah dan lebih baik adalah tidak ada diskriminasi vaksin,” katanya

Related posts

Leave a Comment