3,445 kes baharu, 8 kematian

SINGAPURA 16 Okt. – Singapura melaporkan 3,445 kes baharu Covid-19 termasuk dua kes import setakat tengah hari semalam dengan lapan kematian dicatat disebabkan komplikasi virus tersebut.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 141,772 kes dengan jumlah kematian pula 215 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH) mereka yang meninggal dunia terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 61 dengan 89 tahun.

Lima daripada mereka tidak divaksin manakala tiga sudah divaksin.

Tujuh daripada mereka mempunyai pelbagai penyakit lain manakala salah satu kes tidak divaksin tidak mempunyai masalah kesihatan yang diketahui.

Kes jangkitan baharu pada Jumaat meningkat daripada 2,932 kes yang dilaporkan pada Khamis.

Dalam kalangan kes semalam, sebanyak 3,443 merupakan jangkitan tempatan, yang mana 2,823 adalah kes dalam masyarakat dan 620 penghuni di asrama pekerja asing.

Sementara itu dalam kalangan kes Covid-19 yang dirawat atau dimasukkan ke hospital, 16,513 pesakit atau 75 peratus sedang menjalani pemulihan di rumah,

2,951 sedang dirawat di kemudahan jagaan masyarakat dan 804 di kemudahan rawatan Covid-19.

Baki 1,593 pesakit sedang dirawat di hospital, dengan sebahagian besar daripada mereka sedang dipantau.

Daripada jumlah itu, 322 pesakit memerlukan bantuan oksigen dan 48 di unit jagaan rapi (ICU).

Related posts

Leave a Comment