Ingatan kepada golongan antivaksin

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Ingatan kepada golongan antivaksin! Kehidupan mereka mungkin ‘susah’ dengan beberapa tindakan yang akan diambil kerajaan. Itu peringatan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Ketika mengingatkan golongan antivaksin atau yang melengahkan pengambilan pelalian itu, beliau berkata, mereka berkemungkinan diwajibkan menjalani saringan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) Air Liur secara mingguan.

Bagaimanapun, katanya, perbelanjaan bagi menjalani saringan itu tidak akan ditanggung kerajaan, sebaliknya perlu dibiayai sepenuhnya individu terbabit.

Ketika ini, katanya, golongan belum menerima vaksin tidak dibenarkan makan di restoran mahu pun memasuki pusat beli-belah, selain dijangka lebih banyak batasan akan ditetapkan kemudian.

“Perincian mengenai perkara ini akan diumumkan ketika pelancaran Strategi Saringan Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

“Anda memilih untuk tidak divaksin, jadi kita akan pastikan anda menjalani saringan berkala yang perlu ditanggung sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Majlis Perasmian Kursus Infarksi Myokardial Kebangsaan Ke-11 (NAMIC) 2021 di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, biar pun vaksin tidak diwajibkan tetapi kerajaan tidak akan memberi muka kepada kumpulan terbabit kerana mereka memilih untuk menolak vaksin.

Kita mungkin tidak akan melaksanakan undang-undang Persekutuan yang mewajibkan pengambilan vaksin, tetapi menggalakkan undang-undang sektoral.

“Ia mungkin agak kasar tetapi pendekatan kita juga adalah untuk ‘menyusahkan’ hidup mereka yang memilih untuk tidak divaksin.

“Ini kerana anda sendiri memilih untuk tidak divaksin, melainkan anda tidak boleh menerimanya atas faktor kesihatan dan dikecualikan dalam aplikasi MySejahtera. Bagaimanpun, jika sebaliknya, memang kami akan susahkan hidup anda,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sekurang-kurangnya 200,000 penerima vaksin di negara ini dikenal pasti tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak boleh diterjemahkan sebagai angka mewakili warga asing kerana individu terbabit hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

Beliau juga mendedahkan, seramai 3,006,987 daripada 24.7 juta individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin di negara ini terdiri daripada warga asing.

“Bagaimanapun, lebih ramai yang datang untuk divaksinasi menggunakan pasport atau dokumen bekerja yang tamat tempoh,” katanya.

Related posts

Leave a Comment