10 kematian, 2,263 kes baharu

SINGAPURA 12 Okt. – Sepuluh lagi kematian akibat komplikasi yang disebabkan oleh Covid-19 dilaporkan ketika jumlah kes jangkitan harian yang direkodkan turun kepada 2,263 semalam berbanding 2,809 pada Ahad lalu.

Daripada kes-kes baharu itu, 2,255 adalah jangkitan tempatan yang terdiri daripada 1,949 kes dalam masyarakat dan 306 dalam kalangan penghuni asrama pekerja asing. Turut dilaporkan lapan kes import.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 129,229 dengan jumlah kematian pula 172 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan, kesemua kes kematian melibatkan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap (PR) yang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita yang berusia antara 73 dengan 93.

Dalam kalangan mereka, empat belum divaksin, tiga belum lengkap divaksin dan lagi tiga sudahpun divaksin sepenuhnya. Kesemua mereka mempunyai pelbagai masalah kesihatan.

Sementara itu terdapat 1,698 pesakit yang sedang dirawat di hospital dan daripada jumlah tersebut, 308 pesakit memerlukan sokongan oksigen dan 42 dirawat dalam unit jagaan rapi (ICU).

Sepanjang 28 hari yang lalu, daripada 56,755 pesakit yang dijangkiti, 1.2 peratus memerlukan bantuan oksigen dan 0.1 peratus dirawat di ICU. Daripada jumlah itu pula, 49.3 peratus sudah lengkap divaksin dan 50.7 peratus belum divaksin atau belum divaksin sepenuhnya.  

Related posts

Leave a Comment