Moderna tidak kongsi resipi vaksin

MODERNA tidak berhasrat berkongsi resipi atau formula vaksin Covid-19 keluarannya kerana berpendapat langkah meningkatkan pengeluaran adalah kaedah terbaik untuk menambah bekalan global.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Moderna Noubar Afeyan, syarikat itu tidak akan mendakwa pelanggaran hak paten terhadap pengeluar lain yang membangunkan vaksin sama ketika wabak melanda.

Sebelum ini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesyorkan agar Moderna berkongsi formula vaksin berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mampu meningkatkan pengeluaran, dan telah pun memulakannya, daripada satu bilion dos tahun ini kepada 3 bilion dos pada 2022. “Kami komited memainkan peranan kami. Pihak lain menyatakan akan melakukan peranan masing-masing.

“Jadi dalam jangka masa enam ke sembilan bulan akan datang adalah tempoh masa untuk hasilkan vaksin yang berkualiti tinggi dengan kaedah yang cekap,” katanya pada satu sidang media di Rom.

Beliau berpendapat, di sebalik anggapan yang menyatakan pihaknya tidak mempunyai kapasiti yang cukup, tetapi sebenarnya mereka boleh melakukannya..

“Kami bergerak dari situasi produksi sifar ke produksi bilion dos dalam tempoh kurang daripada satu tahun. Dan saya fikir kita boleh tambahkan lagi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment