1.92 % penjawat awam belum vaksin

 

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Sebanyak 98.1 peratus kakitangan awam telah lengkap menerima vaksin Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata, setakat ini dianggarkan hanya 1.92 peratus daripada 1.6 juta kakitangan awam masih belum mengambil vaksin.

Bagaimanapun, jelas beliau, program imunisasi masih lagi berjalan dan ia dibuat secara sukarela termasuk kepada kakitangan awam.

Walau bagaimanapun, jika kerajaan ingin mewajibkan atau memastikan semua 1.6 juta ini menerima vaksin, ia perlukan beberapa syarat atau peraturan dan penglibatan supaya perkara ini dapat dilakukan dengan cara berhemah.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Shahruddin Md Salleh (PEJUANG-Sri Gading) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tentang status dan hak jika penjawat awam tidak mahu mengambil vaksin dan adakah Kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam tersebut.

Menjawab soalan tambahan Shahruddin pula, sama ada kerajaan bercadang untuk melakukan ujian saringan kendiri secara berkala kepada kakitangan awam dan guru, Abdul Latiff berkata: “Cadangan yang baik, kita boleh bawa dan bincang dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) .”

Related posts

Leave a Comment