90 peratus warga emas divaksin

BERAKAS 11 Okt. – Sebanyak 90 peratus dalam kalangan warga emas, berumur 60 tahun ke atas di Brunei Darussalam telah menerima suntikan vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan Dr Md Isham Jaafar.

Katanya, terdapat lebih 4,000 lagi yang belum menerima vaksin, dan diharap akan dapat mencapai sasaran penuh dalam tempoh sebulan ini.

Beliau juga berharap jumlah orang ramai untuk mendapatkan vaksinasi akan bertambah, pada hari-hari seterusnya.

Di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan, sebanyak 330,410 orang telah menerima satu dos vaksin Covid-19, iaitu 72.8 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Manakala, 211,609 orang telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19, iaitu 46.7 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Brunei Darussalam semalam mencatatkan sebanyak 187 kes baharu jangkitan Covid-19 yang membawa jumlah keseluruhan kes kepada 9,167 orang.

Terdapat 52 tambahan kes baharu pada 21 kluster aktif yang sedia ada pada hari ini, yang merupakan kontak-kontak terdekat bersama beberapa kes positif sebelumnya.

Related posts

Leave a Comment