Kes boleh melonjak

SINGAPURA 9 Okt. – Jumlah kes jangkitan Covid-19 mungkin melonjak pada masa hadapan, terutama sekali dengan kemunculan varian baharu, kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong,

“Kita mungkin perlu memikirkan semula langkah sekatan yang dilaksanakan jika jumlah kes sekali lagi meningkat secara mendadak, bagi melindungi sistem dan pekerja jagaan kesihatan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pemerintah dapat menangani sebarang lonjakan kes pada masa hadapan dengan lebih baik.

Beliau berkata, walaupun perjuangan menentang Covid-19 masih berterusan, Singapura berada di “kedudukan lebih baik sekarang”.

“Kadangkala kita tidak dapat merasakannya, namun kita menunjukkan kemajuan baik ke arah norma baharu,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Lee menyeru rakyat Singapura supaya melindungi hospital dan petugas jagaan kesihatan dan menjadi “benteng pertahanan yang pertama”, di samping mematuhi langkah pengurusan selamat dan mengurangkan aktiviti sosial.

Beliau juga menggesa orang ramai supaya mendapatkan vaksin dan mengambil suntikan dos perangsang, menjalani ujian kendiri dan supaya individu yang sudah dijangkiti menjalani pemulihan di rumah melainkan jika mereka menghidap penyakit serius atau mempunyai anggota keluarga yang mudah terjejas.

“Jangan bergegas ke jabatan kecemasan apabila anda mengalami simptom ringan. Ayuh utamakan kapasiti hospital bagi mereka yang lebih memerlukan – iaitu kes-kes Covid-19 yang serius serta mereka yang menghidap penyakit teruk.

“Dengan kerjasama semua orang, kita boleh mengatasi pandemik, kami harap ini tidak lama lagi. Kami mempunyai sumber-sumber, keazaman dan keberanian untuk terus mengharungi krisis ini…

“Mari kita teruskan dengannya dan terus bekerjasama untuk menamatkan perjalanan ke arah membina daya tahan terhadap Covid-19.” katanya.

Related posts

Leave a Comment