Kuliah Ramadan PKP meriah dengan pelbagai pilihan

“RASA hiba teramat sangat apabila dapat masuk masjid,” begitu kata-kata Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim semasa kuliah dhuha dalam talian hari ini. Setelah lebih sebulan masjid dan surau ditutup, beliau dipanggil imam masjid berhampiran rumahnya, bukannya untuk kuliah tetapi atas satu urusan.

Begitulah kerinduan terhadap masjid dan surau. Bagi yang ‘kaki masjid dan surau’ juga mempunyai perasaan yang sama – rindu solat berjemaah, kuliah Subuh, Maghrib, solat Jumaat. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan – iftar, tadarus al-Quran dan qiamullail. Adakah peluang itu masih ada pada saki baki Ramadan ini?

Bagi Dr Mohd Izhar dan ramai lagi rakannya terutama sebagai penceramah, masjid dan surau tidak dapat dipisahkan. Mereka ini sentiasa bergerak dari satu masjid ke satu masjid atau surau bagi memenuhi undangan sama ada kuliah, ceramah atau forum. Bagaimanapun, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, semua aktiviti masjid dan surau terhenti. Mereka juga kena duduk di rumah.

Apa yang boleh dilakukan di masjid hanya azan dan solat yang melibatkan tiga orang iaitu imam, bilal dan siak. Mereka ini akan ‘menghidupkan’ masjid dan surau dengan laungan azan serta solat lima waktu dan sekarang tarawih.

Bagaimanapun kemudahan teknologi telah menyambung aktiviti lain yang sering diadakan di masjid iaitu kuliah, tazkirah, forum atau ceramah. Kemudahan jaringan media sosial termasuk facebook (FB) dan Youtube, para penceramah tetap muncul. Media sosial tidak pernah sunyi dengan program penceramah ini. Mereka muncul sama ada atas usaha sendiri, ditaja atau anjuran masjid dan surau.

Seawal Subuh, sudah ada kuliah, kemudian waktu dhuha, Zuhur, Asar dan menjelang Maghrib. Ketika bulan puasa, kuliah dilewatkan bermula 10 malam. Pilih sahaja kuliah apa dan siapa penceramah yang anda ingin ikuti.  Tidak tertadah telinga untuk mendengarnya kerana banyak yang tampil berkongsi ceramah ini melalui FB.

Secara tidak langsung pada musim PKP ini, jemaah yang selalu menanti kuliah mempunyai lebih banyak pilihan berbanding hari-hari biasa di luar PKP iaitu ketika ‘pintu masjid’ masih dibuka. Bukan sekadar penceramah tempatan yang ada di sekitar kawasan mereka tetapi di luar kawasan yang kadang-kadang sukar untuk menjemput mereka.

Inilah kelebihan yang ada semasa PKP. Terpulang kepada ‘jemaah’ sama ada mahu mengikutinya atau tidak kerana tanpa perlu ke masjid atau surau, penceramah tetap ‘datang’ ke rumah, di atas telapak tangan. Mereka ada pilihan sama ada  ‘singgah’ sekejap atau tekun mengikutinya sehingga selesai.

Bagi penceramah, jika di surau atau masjid, bilangan yang mendengarnya hanya terbatas kepada jemaah tempatan tetapi melalui media sosial, jumlah ‘jemaah’ atau penonton adalah puluhan ribu dari seluruh pelusuk negara malahan luar negara.

Apa yang penting ketika PKP ini, kuliah tidak pernah terputus dan kelebihannya, jemaah boleh memilih kuliah atau ceramah pilihan. Peluang mereka tidak lagi terbatas kepada kuliah surau atau masjid di tempat sendiri.  Walaupun ada PKP, jemaah boleh ‘keluar’ dari kariah mereka untuk mengikuti kuliah.

Bagi menghidupkan suasana Ramadan ini, kebanyakan masjid juga mengadakan tadarus al-Quran dan solat Tarawih secara langsung. Masjid At Taqwa Bandar Bukit Mahkota, Bangi contohnya  turut mengadakan program 15 Minit Bersama Ustaz yang menampilkan Elyas Ismail, Dr.Sukki Othman dan Asya’ari Abdul Rahman.

Penceramah menawarkan pelbagai pilihan dan pendekatan. Sekadar beberapa contoh, Dr. Izhar di samping kuliah biasa juga mempunyai program bersama Ustaz Abdul Somad di Riau. Soal jawab mengenai pelbagai persoalan termasuk ibadah.

Ustaz Kazim Elias (UKE) muncul setiap 2.30 petang. Di samping tadabur al-Quran, ceramah UKE tidak sunyi dengan nyanyian secara langsung. Tidak bosan dengan pendekatannya melayani permintaan penonton.

Baru-baru ini juga berlangsung Forum Santai Online PKP Ramadan yang menggabungkan UKE, Ustaz Badli Shah Alaudin, dan Ustaz Haslin Baharim.

Beberapa penceramah lain yang boleh diikuti termasuklah Dr. Farid Ravi Abdullah, Abu Anas Madani, Mat Esa Deraman, Elyas Ismail, Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat, dan beberapa orang lagi. Tidak termampu mendengar secara serentak kecuali kongsi dan simpan untuk didengar pada waktu lain.

Related posts

Leave a Comment