Singapura catat 3,483 kes

SINGAPURA 8 Okt. – Kes baharu Covid-19 di Singapura terus menjangkaui 3,000 buat hari ketiga berturut-turut apabila merekodkan 3,483 semalam (Khamis) dengan tiga lagi kematian akibat komplikasi koronavirus itu.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), kes kematian melibatkan penduduk tempatan, dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 57 hingga 90 tahun.

Seorang daripada mereka belum divaksin manakala dua lagi sudah divaksin dan ketiga-tiganya mempunyai pelbagai masalah kesihatan.

Ini membawa bilangan keseluruhan mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 kepada 136 manakala jumlah keseluruhan kes pula 116,864.

Dalam kalangan kes baharu itu, sebanyak 3,475 adalah kes jangkitan tempatan termasuk 2,783 kes dalam masyarakat dan 692 di asrama pekerja asing.

Sementara itu, lapan adalah kes import, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya yang dikeluarkan kepada media sekitar jam 11.00 malam.

Sementara itu, seramai 1,534 pesakit dimasukkan ke hospital, kebanyakan mereka berada dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan.

Terdapat 297 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen manakala 40 pula berada di unit jagaan rapi (ICU). Daripada jumlah pesakit yang sakit teruk, 281 berusia lebih 60 tahun.

Sepanjang 28 hari lalu, terdapat 628 kes yang memerlukan bantuan oksigen dan 61 dimasukkan ke ICU. Daripada jumlah itu, 49.5 peratus lengkap divaksin dan 50.5 peratus sama ada belum divaksin atau sudah mendapatkan satu suntikan dos. 

Related posts

Leave a Comment